![]() |
Bagi manusia yang dilahirkan sempurna dan sihat tubuh badan, kaki adalah bahagian tubuh yang paling banyak digunakan. Anda perlu berjalan, berlari dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan menggunakan kedua-dua belah kaki. Boleh dikatakan hampir 100 peratus pergerakan kita melibatkan kaki. Jika ia dibiarkan bekerja terus menerus tanpa rawatan dan belaian yang sepatutnya, tidak mustahil kaki akan letih dan sakit berikutan perjalanan darah yang tidak lancar di bahagian tersebut.
Dewasa ini, penjualan mesin mengurut tubuh khususnya untuk kaki semakin banyak di pasaran. Setiap satu mesin mempunyai fungsi yang tersendiri. Oleh sebab ia digerakkan oleh kuasa motor untuk mengurut, harga satu-satu mesin itu sangat mahal. Bukan semua orang mampu membelinya. Tetapi, untuk apa anda membazirkan wang yang banyak jika anda boleh mengatasi masalah kesakitan di kaki anda dengan cara semulajadi, misalnya mengurut? Berikut kami bantu anda mempelajari teknik urutan kaki yang ringkas. Suka diingatkan teknik ini bukanlah untuk mengatasi masalah kaki yang serius. Sebaliknya, teknik urutan ini hanyalah sesuai untuk mengatasi masalah kaki yang lenguh, letih dan terlalu kuat bekerja. Sebelum itu, kami terangkan kepada anda terlebih dahulu faktor-faktor yang mudah membawa kepada
masalah kaki dan cara penyelesaiannya.
Faktor & Penyelesaian
FAKTOR 1 :- Kasut
1. Jika anda lebih banyak menggunakan kasut (khususnya yang tertutup) dalam sehari, sebenarnya perjalanan darah di bahagian tersebut menjadi sedikit terganggu berikutan pendedahan kepada udara yang sangat terbatas. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika anda memakai stoking berfabrik tebal.
Penyelesaian : Kita memang memakai kasut sepanjang tempoh bekerja. Kadangkala, kita juga memakai kasut untuk keluar beriadah. Sebaiknya, bukalah kasut apabila ada peluang. Semasa anda sedang duduk di meja pejabat, bukalah kasut dan stoking. Mulakan regangan dengan tumit kaki. Angkat tumit dari lantai dan
kekalkan posisi ini dalam 20 kiraan. Kemudian, angkat jari jemari ke atas dan rendahkan tumit ke lantai. Buat dalam masa 20 kiraan juga. Seterusnya, regangkan jari jemari agar perjalanan darah yang mengalir di situ kembali lancar.
2. Tidak dinafikan, kasut tinggi memang cantik dipakai. Tubuh lebih langsing dan gaya berjalan juga menjadi lebih hebat. Tetapi kekerapan memakai kasut tinggi untuk tempoh masa yang lama juga tidak baik.
Penyelesaian : Semasa anda berjalan dengan kasut tinggi, anda sebenarnya memberikan ‘tekanan’ pada betis dan tumit. Jadi, dua bahagian ini perlulah sentiasa dibelai agar tidak wujud kecederaan di kemudian hari. Sebagai penyelesaian, anda boleh berbaring di atas katil dan letakkan bantal di bawah betis. Setelah anda merasa betul-betul relaks, alihkan bantal dan lakukan sedikit senaman ringan. Dalam posisi berbaring, angkat sebelah kaki ke atas dan biarkan sebelah kaki lagi berada di atas tilam. Biarkan dalam 10 kiraan. Kemudian,
tukar dengan kaki yang lagi satu. Selain itu, dalam keadaan kaki di atas bantal, anda boleh menggerakkan tapak kaki ke kiri dan kanan untuk melegakan saraf di betis yang ‘ketat’.
FAKTOR 2 :- Senaman
1.Senaman misalnya berjoging juga boleh mewujudkan tekanan dan kesakitan pada kaki. Walaupun tujuan asal senaman ialah untuk mengekalkan kesihatan tubuh, tetapi kalau ia dilakukan secara tidak sistematik, tidak mustahil kakilah bahagian tubuh pertama yang akan meninggalkan kesan.
Penyelesaian : Jangan pandang remeh fungsi pemanasan (warm up) dan penyejukan (cooling down). Kalau anda sayangkan kaki, jangan lakukan senaman secara sembarangan. Pelajari dahulu teknik-teknik senaman yang anda pilih dan lakukannya dengan bijak. Kalau anda ingin memilih aktiviti badminton misalnya, lebihkan
aktiviti regangan pada bahagian tangan dan kaki. Lihat dulu aktiviti yang ingin anda pilih dan buatlah regangan dari hujung kepala ke hujung kaki.
2.Kalaupun anda begitu ghairah untuk bersenam, usahlah lakukannya berpanjangan selama seminggu. Anda
bukan sahaja meningkatkan risiko kecederaan tubuh, khususnya pada kaki, bahkan hasilnya juga tidak seperti yang anda inginkan.
Penyelesaian : Sudahlah kaki anda letih akibat pergerakan seharian, kalau anda paksa untuk aktiviti lain yang lebih ‘heavy duty’ pun pasti kaki akan tercedera. Sebagai penyelesaian, kurangkan aktiviti kecergasan anda menjadi dua atau tiga kali sahaja dalam seminggu. Lebihkan regangan pada bahagian kaki sebelum bermula.
Pilihlah juga kasut yang sesuai dan berkualiti tinggi.
No comments:
Post a Comment